Wednesday, April 27, 2011

SELAMAT DATANG WAKIL GCP YANG BARU

MOHD FAIRUZ BIN ZAINAL ABIDIN - DEALER AD 1886
MUAR- HP- 012- 24 737 56

Sunday, April 17, 2011

"Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu lebih kuat daripada yang lain."--Tan Sri Syed Mokhtar Albukhar

Thursday, April 14, 2011

Wednesday, April 13, 2011

HARGA PASARAN EMAS MALAYSIA FGJAM

HARGA JUALAN DI KEDAI EMAS

999 Gold : RM172.00/gm

916 Gold : RM162.00/gm

835 Gold : RM148.00/gm

750 Gold : RM133.00/gm

375 Gold : RM72.00/gm

Last updated on 13 Apr 2011.


** TIDAK TERMASUK UPAH TUKANG
http://fgjam.org.my/

HARGA EMAS TERTINGGI DALAM SEJARAH

Amat beruntung orang yang menyimpan emas. Harga emas telah berada pada paras tertinggi. berikut adalah harga emas yg disyorkan oleh Federation Of Goldsmith And Jewellers Associations Of Malaysia (FGJAM)

Friday, April 1, 2011






Oleh kerana emasbistari mengagumi minda Tun M, maka coretan ini emasbistari copy paste dr blog jentayu emas trading untuk tatapan emasbistari..maaflah ianya tiada kena mengena ngan emas tapi pada emasbistari Tun M is also a treasure...




















MAHATHIR - DARI KACA MATA SAHABAT (Tan Sri Sanusi Junid)












MAHATHIR - DARI KACA MATA SAHABAT (Tan Sri Sanusi Junid)
NOTA UCAPAN UNTUK MAJLIS ANJURAN BERSAMA UNIVERSITI MALAYA PERLIS (UniMAP) DAN INSTITUT PEMIKIRAN TUN DR. MAHATHIR DI UNIVERSITI UTARA MALAYSIA (UUM) PADA 8 MAC, 2011 DI DEWAN §2020, KANGAR PERLIS.
SALAM

Assalamu'alaikum Warahmatullaahi Wabarakaatuh dan Selamat Pagi kepada hadirin hadirat sekalian

KATA-KATA SAMBUTAN

Yang Berbahagia Tuan Pendaftar UniMAP selaku Pengerusi Majlis,

Yang Dihormati Pengarah Institut Pemikiran Tun Dr. Mahathir Mohamad, UUM

Ahli-Ahli Yang Berhormat,

Tenaga Akademik UniMAP, UiTM dan UUM,

Ketua Jabatan, Agensi dan Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri dan Pusat,

Para Pelajar,

Kawan dan Sahabat,

Hadirin dan Hadirat sekalian.

1. Saya merasa bertuah kerana diberi penghormatan untuk menjadi pengucap utama dalam majlis pada pagi ini.

PENGHORMATAN

2. Rasa terhormat ini meningkat apabila tajuknya ialah mengenai tokoh yang digelar 'The Giant of Asia' atau 'Gergasi Asia'.

3. Gergasi inilah yang perlu saya bicarakan sebagai sahabat melalui kacamata saya. Perlu saya jelaskan bahawa sahabat saya, Tun Dr. Mahathir, bukanlah rakan persekolahan saya, bukan rakan sepermainan saya dan bukan juga rakan kongsi dalam apa jua jenis perniagaan.

KESUKARAN MENULIS

4. Agak susah untuk saya menulis ucapan ini kerana sebagai penulisan politik ianya tidak dapat dibincangkan tanpa rujukan kepada watak yang terlibat, kerana politik itu ialah mengenai kuasa yang menjadi rebutan berbagai watak. Kebanyakan watak yang terlibat pula masih hidup. Oleh kerana bukan semua huraian yang dibuat berbentuk pujian maka sebarang kritikan mungkin dianggap sebagai sesuatu yang patut dilupakan atau dikesali oleh yang berperanan.

5. Banyak sungguh buku yang telah ditulis mengenai Tun Dr. Mahathir dan banyak juga buku yang ditulis sendiri oleh Tun Dr. Mahathir mengenai berbagai tajuk ditambah pula dengan kumpulan ucapan-ucapannya yang bernas yang telah dibukukan.

6. Oleh itu ucapan saya pada pagi ini hanya sekadar menyusun semula apa yang sudah diketahui umum dengan ditambah di sana-sini untuk melengkap, menambah atau meminda di mana perlu sesuai dengan pandangan atau persepsi peribadi saya mengenai sesuatu isu atau kejadian.


WAWASAN 2020

7. Sebagai contoh ialah Wawasan 20 20.

8. Sebelum saya menjadi Menteri saya sering balik ke Kedah dan menginap di Grand Continental Hotel di Alor Setar. Saya sering duduk di meja tepi dinding dalam coffee-house. Dari coffee-house itu saya dapat melihat MAHA Klinik di mana Tun Dr. Mahathir bekerja sebelum menjadi Menteri. Kalau kita lihat ke MAHA Klinik pasti ternampak kedai cermin-mata 2020.

9. Oleh itu selepas mesyuarat kabinet di hari Tun Dr. Mahathir mengumumkan Dasar Wawasan 2020 pada tahun 1991 beliau telah memanggil saya dan bertanya 'Your know what is 2020?' Saya jawab 'Yes ... the spectacles' kerana saya teringat kedai cermin-mata 20 20 di tepi MAHA Klinik. Tun berkata 'OK ...... make sure the logo for Merdeka Day reads twenty-twenty and not two thousand and twenty'. Arahan itu ialah kerana saya bertanggungjawab menyiapkan logo Hari Merdeka sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hari Kebangsaan.

10. Maksud Tun Dr. Mahathir dengan Wawasan 2020 ialah 'wawasan atau penglihatan yang jelas'. Jika mata kita diperiksa oleh doktor mata dan kedua belah mata bacaannya 20 20 maka kita tidak perlu pakai cermin-mata kerana pandangan kita tidak kabur. Berertilah Wawasan 20 20 ialah 'Wawasan Yang Jelas' dan seseorang yang berwawasan yang jelas dapatlah membangun negeri dan negara dengan cepat dan menguntungkan rakyat. Dengan wawasan yang jelas kita boleh menjadi negara yang maju pada tahun 2020, atau sebelumnya, seperti negeri Selangor yang mengaku sudah menjadi negeri maju pada tahun 2005 kerana pemerintahan bijak Barisan Nasional.

11. Tetapi apa yang kita dengar hari ini ialah Wawasan 2020 itu ialah Malaysia akan menjadi negara maju pada tahun 2020 dan aspek cermin-mata tidak pernah disebut lagi.

ANTARA BUDI DAN PRINSIP

12. Hasil menungan saya sebagai Wakil Rakyat selama 40 tahun dan menjadi ahli UMNO selama 48 tahun saya dapati kebanyakan orang-orang Melayu lebih mementingkan kawan daripada prinsip. Banyak yang saya lihat sukar meninggalkan kawan jika kawannya itu sudah terbukti menyeleweng sekalipun; dan kebaikan yang ada pada musuh sukar diterima sebagai modal yang boleh membaiki semula perhubungan. Lebih-lebih lagi jika ia melibatkan pemimpin yang pernah membantu kawan atau kenalannya.

13. Seperkara lagi yang sangat menonjol ialah perubahan sikap seseorang itu bila sudah berkuasa atau sudah berada di peringkat atasan. Ada yang ingin melupakan kawan-kawannya yang tahu bagaimana asal usul atau sejarah hidup dan perjuangannya kerana setelah berada di atas dan merasakan diri begitu hebat, atau insan kamil, maka segala bukti, termasuk kawan-kawan lama, yang mengetahui sejarah kebaikan dan kekurangannya, hendak diketepi dan dihapuskan, supaya yang wujud hanya kebaikan dan kedewaannya.



14. Sikap ini tidak ada pada Tun Dr. Mahathir. Tun Dr. Mahathir agak lambat, kerana beliau sangat teliti, sebelum menghukum seseorang yang dilaporkan salah, tetapi dia mudah memaafkan, walau pun sukar melupakan.

TIDAK PERNAH BERGURAU DAN TIDAK PERNAH MINTA

15. Sejak saya kenal beliau pada tahun 1956, waktu saya sakit batuk di Langkawi, sehinggalah sekarang, saya tidak pernah bergurau dengan beliau, hanya sekadar turut tertawa bila orang lain bergurau, dan saya juga tidak pernah meminta sesuatu darinya untuk diri saya baik semasa bertugas atau pun sebagai bekalan untuk hari-hari bersara.

TEMPOH BERSARA DARI UMNO

16. Di Negeri Sembilan, di waktu kami sama-sama 'bersara' sebentar dari UMNO, untuk boleh bebas bersuara dan mengkritik tokoh yang kami sangkakan kawan, Tun Dr. Mahathir telah menafikan kenyataan bahawa saya tidak pernah meminta apa-apa darinya. Lantas Tun ingatkan saya bahawa saya telah meminta untuk berhenti dari menjadi Menteri Besar Kedah setelah Barisan Nasional menang dengan majority lebih 2/3 dalam pilihanraya di peringkat negeri Kedah.

DI LANGKAWI

17. Tun Dr. Mahathir memulakan profesyennya di Langkawi sementara saya pula berada di Langkawi pada masa yang sama kerana bapa saya menjadi pemandu lori Tauke Teik yang mengangkut tanah merah untuk ditambak dalam pembinaan jalan yang menghubungi pekan Kuah dengan Padang Matsirat.

TARIKH LAHIR YANG SAMA

18. Selain dari persamaan berada di Langkawi pada tahun yang sama, kami juga mempunyai tarikh lahir yang sama iaitu 10 Julai walau pun perbezaan antara umur kami ialah 18 tahun.

19. Mungkin kerana perbezaan umur maka di waktu Tun Dr. Mahathir menjadi pemimpin MAYC di peringkat kebangsaan, sebagai Naib Presiden, saya menjadi ahli Kelab Belia Seremban, yang aktif bermain ping-pong, yang menjadi kelab gabungan MAYC.

20. Waktu saya baru menjadi ahli UMNO pada 13 Oktober, 1963 Tun Dr. Mahathir sudah pun terkenal sebagai pejuang bangsa dan telah menjadi ahli UMNO sejak tahun 1946.

21. Waktu saya menjadi Setiausaha Dewan Peniagaan Melayu Negeri Sembilan pada tahun 1965 Tun Dr. Mahathir sudah menjadi Naib Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia.

22. Waktu saya menghadiri Konvensyen Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia waktu di bawah pimpinan Dato' Senu, pada tahun 1965, Tun Dr. Mahathir sudah menjadi pembentang kertas-kerja. Menteri Besar Perlis Penghulu Jaafar pun turut hadir dalam konvensyen itu, yang diadakan di Morib, Selangor.

23. Bila saya menjadi Ahli Parlimen mulai tahun 1974 Tun Dr. Mahathir sudah jadi Menteri Pendidikan. Bila Tun Dr. Mahathir jadi Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1978 saya menjadi Timbalan Menteri, seterusnya bila Tun Dr. Mahathir jadi Perdana Menteri pada tahun 1982 saya menjadi Menteri.

24. Tetapi, dalam satu hal saya mendahului Tun Dr. Mahathir iaitu saya berhenti jadi Menteri Besar Kedah dan Tun Dr. Mahathir pula 'ikut contoh saya apabila beliau kemudiannya' berhenti dari menjadi Perdana Menteri.

EMPAT IDOLA

25. Sebenarnya semenjak dari kecil saya mempunyai 4 (empat) idola yang, mengikut ibu saya, patut dicontohi.

26. Mereka ialah:

26 a - Tan Sri Hanafiah Nyak Hussain iaitu anak Malaysia yang pertama lulus dalam bidang Chartered Accountant,

26 b - Tan Sri Pendita Professor Dr. Ismail Nyak Husin sebagai anak Sungai Limau Yan yang mendapat Kepujian Kelas Satu dalam Pengajian Melayu di Universiti Singapura; beliau ialah adik Sasterawan Negara Dato' Abdullah Nyak Husin pengarang INTERLOK,

26 c - Dato' Kasim Nyak Ma'on yang merupakan anak Melayu pertama lulusan dari Taiwan National University. Beliau mendapat biasiswa Dewan Perniagaan China untuk melanjutkan pelajaran di Taiwan setalah mendapat keputusan cemerlang di sekolah Chung Ling High School, Penang.

Ketiga-tiga mereka ini berasal dari daerah Yan, Kedah. Yang bukan dari Yan ialah:

26 d - Tun Dr. Mahathir sebagai doktor yang terkenal menonjol di waktu itu.

27. Walau pun dari segi profesyenal saya mendapat inspirasi dari Tan Sri Hanafiah Hussain, dalam kegiatan politik saya mempelajari cara Tun Dr. Mahathir.

ASPEK YANG MENGKAGUMKAN PADA TUN DR. MAHATHIR

28. Kita tidak dapat melupakan Dasar Pandang Ke Timur yang dilancarkan oleh Tun Dr. Mahathir di bawah pemerintahannya. Kebanyakan pemimpin dan rakyat memikirkan dasar ini terbatas kepada melihat pencapaian ekonomi negara-negara Jepun, Korea Selatan dan kemudiannya termasuk Taiwan.

29. Apa yang saya faham ialah dasar ini melibatkan nilai. Iaitu nilai-nilai yang ada pada orang Jepun dan Korea Selatan yang telah membawa kepada kemajuan negara mereka. Di waktu nilai-nilai ini diketengahkan kerajaan telah menumpu perhatian kepada pembentukan sikap berani, amanah, disiplin, rajin dan setia dalam konteks Dasar Pandang Ke Timur. Inilah nilai-nilai yang selalu dihuraikan oleh Tun Dr. Mahathir dalam kursus-kursus yang dianjurkan oleh Biro Tatanegara untuk pegawai dan kakitangan kerajaan.

30. Setelah beberapa waktu nilai-nilai ini diketegahkan di bawah Dasar Pandang Ke Timur, oleh kerana nilai-nilai ini juga adalah yang dituntut oleh Islam maka penerapan nilai-nilai ini diteruskan di bawah Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam.

31. Nilai-nilai ini jelas ada pada Tun Dr. Mahathir.

PERTAMA - BERANI

32. Tun Dr. Mahathir tidak takut dan gentar untuk membuat apa jua keputusan dan menyatakan apa jua pendapatnya di semua forum baik di dalam atau di luar negara, baik secara peribadi, tertutup atau pun secara terbuka.

KEPETAHAN TUN DR. MAHATHIR

33. Waktu melawat USA beliau telah makan tengahhari di White House bersama Presiden Ronald Reagan. Saya, sebagai menteri pengiring dalam lawatannya itu, berada di sisinya, berdepan dengan Ronald Reagan di meja makan. Ronald Reagan telah bertanya 'Kenapa Umat Islam suka berperang.'

33 a - Tun menjawab 'Adalah tidak benar Umat Islam suka berperang kerana majoriti Umat Islam berada di Tenggara Asia, di Malaysia, Indonesia dan Brunei dan mereka tidak berperang. Di Bangladesh dan Pakistan juga mereka tidak berperang, malahan di India paling ramai Umat Islam yang hidup damai tanpa perang.'

33 b - 'Kalau begitu yang berperang itu ialah Arab dan mereka yang di Timur Tengah?' tanya Ronald Reagan.

33 c - Tun menjawab 'Bukan semua, kerana di Morocco dan Mesir tiada peperangan, yang ada peperangan ialah di beberapa negara sahaja dan itu tiada kaitan dengan Islam.'

33 d - Lantas Ronald Reagan bertanya 'Kenapa mereka itu berperang?'

33 e - Tun Mahathir menjawab 'Kerana Amerika Syarikat dan Russia jual senjata pada mereka, maka senjata itu tidak boleh digunakan untuk tujuan lain kecuali berperanglah.'

33 f - 'Jadi kami yang salah?' tanya Reagan.

33 g - 'Saya tak kata begitu, tetapi kira-kira begitulah.' Tun Dr. Mahathir mengeluh.

34. Mereka berdua pun ketawa.

BUY BRITISH LAST

35. Walau pun Tun Dr. Mahathir kelihatan memusuhi pihak Barat dengan dasarnya seperti 'Buy British Last' dan ucapan-ucapannya yang lantang dan berani menegur dasar luar Amerika Syarikat, dan penentangannya terhadap IMF dan Bank Dunia tetapi beliau, demi kepentingan ekonomi negara, bersikap 'pro-business' atau 'menyebelahi perniagaan' dan dasar-dasarnya itu hanya menyinggung politik Barat dan tidak menentang perniaga dan pengusaha Barat. Itulah sebabnya sementara beliau mengkritik Britain dan Amerika Syarikat pelabur-pelabur dari kedua negara itu tetap mendatangi Malaysia. Berertilah keberanian Tun Dr. Mahathir adalah satu keberanian yang penuh dengan perhitungan dan bukan sebarang keberanian yang merugikan negara.

TUN DR. MAHATHIR MEMILIH YANG TERBAIK DI DUNIA UNTUK MALAYSIA

U. S. A.

36. Waktu di Amerikalah Tun Mahathir menyedari kewujudan lapangan terbang Dallas sebagai lapangan terbang yang terbesar di dunia, menara Sears sebagai menara tertinggi di dunia, Washington D. C. sebagai ibukota masonic yang terancang indah di dunia. Tun Dr. Mahathir telah menandingi ketiga pembinaan ini dengan mewujudkan KLIA sebagai lapangan terbang yang terbesar indah di dunia, KLCC sebagai sepasang menara yang tertinggi di dunia sehingga ke akhir alaf kedua dan Putrajaya sebuah ibukota yang megah dan indah menyaingi semua ibukota di dunia.

CANADA

37. Bila sampai di Canada Tun Mahathir telah makan tengahari bersama dengan Perdana Menteri Trudeau di Menara Telekom di Ontario. Apabila diberitahu bahawa menara itu adalah antara yang empat tertinggi di dunia Tun Mahathir, sekembalinya ke Malaysia telah memutuskan pembinaan Menara Telekom Kuala Lumpur yang tegak megah di tengah-tengah Kuala Lumpur, sebagai salah satu daripada 5 menara telekom yang tertinggi di dunia.

PERANCIS

38. Dari Canada rombongan Tun Dr. Mahathir telah berangkat ke Perancis yang Presidennya di waktu itu ialah Presiden Mitterand. Menteri Pengangkutan Perancis telah mengiringi Tun Mahathir ke kawasan industri di mana terletak sebuah kilang 'optic fibre'. Kini, selain Taman Teknologi Tinggi Kulim dan Cyberjaya kita juga mempunyai keretapi laju antara KL dan KLIA seperti keretapi yang Tun Mahathir naiki bersama Menteri Pengangkutan Perancis itu dari Paris ke Taman Teknologinya.

39. Tun Dr. Mahathir bersemangat membina Cyberjaya apabila beliau mengetahui lebih 60% tenaga kerja di Taman Teknologi Perancis itu datangnya dari negara-negara Islam kerana mereka memberitahu negara-negara Islam tidak mempunyai Taman Teknologi dan kepakaran mereka tidak diperlukan di negara-negara mereka sendiri. Kata Tun kepada mereka 'Datanglah ke Malaysia nanti.'

SWITZERLAND

40. Dari Perancis rombongan Tun Mahathir berangkat ke Berne ibu kota Switzerland. Di sana kami telah melihat bagaimana negara itu melindungi rakyatnya dari penderitaan jika berlaku perang nuklear. Kami juga telah dibawa masuk dalam gua yang sekaligus menjadi lapangan terbang untuk jet kapalterbang perang yang terbang keluar dari pergunungan jika berlaku sebarang serangan yang mengancam keselamatan negara mereka.

41. Saya ternampak dari kata-katanya betapa Tun Dr. Mahathir begitu terpukau melihat keindahan kota dan persekitaran seluruh negara Switzerland. Switzerlandlah saya kira yang difikirkan oleh Tun Dr. Mahathir apabila beliau menyatakan keinginan supaya Kuala Lumpur diperindahkan dan dinamakan 'The Garden City of Light.'

42. Saya mendapat tahu dua kota yang bergilir-gilir bersaing sebagai kota terbersih di dunia iaitu kota Zurich dan Singapura. Alangkah hebatnya jika Kuala Lumpur menjadi pesaing ketiga.

43. Sebagai menyambut hasrat Tun Dr. Mahathir untuk melihat kota dan negaranya yang bersih indah maka saya juga sebagai Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan telah menganjurkan pertandingan kampung indah setiap tahun kita menyambut Hari Ulangtahun Kemerdekaan.

PROJEK MEGA JADI BAHAN FITNAH

44. Projek-projek besar atau mega inilah yang yang tersebut di atas inilah yang kemudiannya menjadi bahan fitnah apabila Tun Dr. Mahathir dicabar untuk jawatan Presiden UMNO pada tahun 1987.

SIFAT KEDUA - AMANAH

45. Sehingga hari ini Tun Dr. Mahathir masih berpegang kepada amanah yang termeterai di dalam Perlembagaan UMNO dan Malaysia.

BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN

46. Keputusan beliau supaya matematik dan sains diajar dalam bahasa Inggeris adalah kerana kekecewaan beliau atas lambatnya, dan terbatasnya kemampuan, para ahli bahasa dan ilmuan menterjemahkan semua buku ilmu dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain ke bahasa Melayu. Ianya tidak boleh ditafsirkan sebagai pengkhianatan kepada bahasa dan bangsa Melayu, Baginya kesetiaan kepada bangsa tidak bererti menghalang bangsa itu daripada pendedahan kepada berbagai jenis ilmu yang ada, semata-mata kerana enggan membenarkan bangsa itu pintar dalam bahasa lain yang mempunyai banyak ilmu tertulis di dalamnya. Beliau mengambil dirinya sebagai contoh seorang yang menguasai bahasa Inggeris tetapi tidak kurang semangat Melayunya.

KEDAULATAN RAJA-RAJA MELAYU

47. Dalam mempertahankan kedaulatan raja-raja Melayu beliau telah menghapuskan punca kemungkinan raja-raja boleh difitnahkan kerana menggunakan kuasa tidak mahu meluluskan undang-undang sehingga mendapat sesuatu yang dikehendakinya. Dengan meminda Perlembagaan yang membolehkan undang-undang diluluskan tanpa bergantung kepada persetujuan raja maka punca fitnah sedemikian dapat dihapuskan.

48. Walau bagaimanapun ada pihak yang mentafsirkan tindakan ini sebagai menghakiskan kuasa raja. Ini bukanlah niat dan tujuan Tun Dr. Mahathir yang telah sama-sama berjuang menentang gagasan Malayan Union, yang dirancang oleh British, yang menghina kedudukan Raja-Raja Melayu.

ISLAM SEBAGAI UGAMA PERSEKUTUAN

49. Tun Dr. Mahathir tidak berganjak mempertahankan Islam sebagai ugama yang diredhai Allah. Beliau mempertahankan 'fundamental' Islam itu sebagai baik dan seseorang itu tidak perlu takut diangap sebagai fundamentalis kerana seseorang yang berpegang kepada fundamental Islam tentulah baik orangnya kerana fundamental Islam itu baik.

50. Beliau tidak akan memberi katanama lain, seperti hadhari, kepada Islam hanya untuk mengambil hati orang bukan Islam dan beliau tetap mempertahan fundamental Islam. Bagi beliau Islam itu ialah ugama untuk diamal, sekadar mampu, dan Islam itu di atas politik dan tidak boleh diletak di bawah politik hanya untuk diperalatkan untuk memenangi pilihanraya. Kerana mempertahankan Islam dan Umat Islam Tun Mahathir sangat dibenci oleh Yahudi khasnya Yahudi Zionis Kristian. Malangnya Tun Mahathir juga dibenci oleh tokoh-tokoh Islam di negara ini yang mampu menidakkan Islamnya dan keislaman partinya semata-mata kerana tokoh Islam itu samaada berkawan dengan Yahudi atau dengan tokoh, di negara jiran, yang menjadi sahabat setia golongan Zionis di Israel dan ingin Umat Islam di negaranya merubah sikap dan cara mereka berugama.

HAK ISTIMEWA ORANG-ORANG MELAYU

51. Tun Dr. Mahathir tidak pernah berhenti mempertahankan hak istimewa orang-orang Melayu dan kedudukan Melayu sebagai Bumiputra dan bukan pendatang di negara ini. Beliau ditohmahkan sebagai rasis kerana mempertahankan hak dan kedudukan Melayu. Dalam mempertahankan Dasar Ekonomi Baru Tun Dr. Mahathir tidak berhenti menyeru orang-orang Melayu supaya merubah sikap dan berpegang dengan nilai-nilai murni yang boleh membawa kepada kejayaan.

52. Waktu beliau menjadi Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir tidak pernah mengurangkan kuota biasiswa kerajaan untuk pelajar-pelajar Melayu tetapi pihak bukan Melayu tidak membantah terhadap dasar ini kerana Tun Dr. Mahathir terus membantu mereka untuk memajukan sektor ekonomi negara; dan swasta bukan Melayu bebas memberi kesemua peruntukan biasiswa mereka kepada kaum mereka sendiri. Walau pun 95 % biasiswa kerajaan telah diberi kepada pelajar-pelajar Melayu dan Bumiputra tetapi biasiswa swasta, yang tidak kurang jumlahnya, adalah 100 % untuk bukan kita.

SIFAT KETIGA - DISIPLIN

53. Tun Dr. Mahathir adalah seorang yang cukup disiplin dalam aspek waktu dan jadual bekerja dan beribadat. Contoh disiplin yang ingin diterapkan ke dalam jiwa pekerja kerajaan di Malaysia ialah dengan memperkenalkan mesin perakam waktu bekerja. Kita juga masih teringat kepada slogan 'Bersih, Cekap dan Amanah" sebagai usaha mendidik rakyat supaya berdisiplin.

54. Yang penting ialah bukan sahaja Tun Dr. Mahathir mahukan rakyat bersikap disiplin tetapi beliau sendiri mengamalkan disiplin yang dikehendakinya dari rakyat. Apabila beliau mengarahkan pekerja kerajaan di semua peringkat memakai tanda-nama beliau juga memakainya.

SIFAT KEEMPAT - RAJIN

55. Tidak ada orang yang mengenal Tun Dr. Mahathir yang tidak mengetahui betapa beliau rajin membaca, menulis, bercakap dan bekerja.

SIFAT KELIMA - SETIA

56. Tun Dr. Mahathir terkenal sebagai seorang yang setia kepada kawan dan perjuangan.

57. Hubungan Tun Dr. Mahathir dan Tun Dr. Siti Hasmah adalah satu contoh hubungan setia dan mesra antara suami isteri yang jarang ada di kalangan pemimpin politik yang berjaya di dunia ini. Jika kita lihat kepada sejarah pemimpin ulung di Amerika Syarikat seperti John F. Kennedy (dengan Marilyn Monroe), pemimpin ulung di Eropah seperti Napoleon Bonaparte (dengan Eva Braun) dan pemimpin ulung di zaman Empayar Rom seperti Julius Caesar (dengan Cleopatra) jelas sekali apabila lebih meningkat populariti seseorang maka lebih hebat godaan yang mendampinginya kerana 'Power is Aphrodisiac'. Untuk kita tidak anggap itu kisah pemimpin dulu kita boleh lihat kepada rekod Presiden Bill Clinton (dengan Monica Lewinsky) yang sudah bersara dan bagi yang masih berkhidmat kita perhatikan pula perkembangan kes Perdana Menteri Berlusconi di Itali.

58. Kalau kita lihat kepada watak sebagai Tony Blair pula kita akan dapati ketidaksetiaannya termasuk kepada bidang ugama. Walau pun beliau penganut ugama Kristian Anglican di waktu menjadi Perdana Menteri Britain beliau berubah ke ugama Katholik apabila berhenti dari menjadi Perdana Menteri.

59. Kesetiaan Tun Dr. Mahathir kepada kawan-kawannya adalah luar biasa dan saya boleh menulis ratusan muka surat bagaimana kesetiaannya kepada kawan-kawannya telah membantu beliau membangunan negara dan banyak pula masalah yang dihadapinya yang berpunca dari kesetiaan itu.

DUA PERISTIWA YANG SANGAT BERERTI DALAM HUBUNGAN SAYA DENGAN TUN MAHATHIR

PERISTIWA PERTAMA - PERLETAKAN JAWATAN TUN MUSA HITAM

60. Setelah Tun Hussein Onn meletak jawatan dan Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri pada 16 Julai, 1981 UMNO telah mengadakan Perhimpunan Agong Tahunan ( 1981 ) dan Tun Dr. Mahathir, kerana susah memilih antara dua sahabat untuk menjadi Timbalannya telah membenar UMNO untuk membuat pemilihan melalui pertandingan.

61. Oleh itu Tun Musa Hitam telah bertanding dengan Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan Timbalan Presiden UMNO. Oleh kerana Tun Dr. Mahathir memberitahu kepada saya beliau akan lebih aman bekerja jika Tun Musa menjadi Timbalannya maka saya telah menyokong Tun Musa Hitam. Tengku Razaleigh, kerana kurang rapi persiapannya, telah kalah dengan 205 undi ( 722 - 517 ).

62. Walau pun Teungku Razaleigh kalah, kerana 517 undi yang diperolehinya lumayan banyak, beliau terus dikekalkan oleh Tun Mahathir di dalam kabinet sebagai Menteri Kewangan sementara Tun Musa Hitam, sebagai Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Dalam Negeri. Tun Dr. Mahathir berpendapat dengan pengekalan ini penyokong-penyokong Teungku Razaleigh akan merasa selesa dan terus mantap menyokong UMNO dan kepimpinannya. Tun Mahathir berpegang kepada prinsipnya 'If you win you cannot win all just as if you lose you cannot lose all'.

63. Tun Musa jelas tidak selesa dengan prinsip Tun Dr. Mahathir ini kerana Tengku Razaleigh kelihatan bertambah popular dengan jawatannya sebagai Menteri Kewangan. Tun Musa juga tidak selesa dengan kemasukan Dato' Seri Anwar Ibrahim ke dalam UMNO pada tahun 1982, atas inisiatif Tengku Razaleigh dan Dato' Harun Idris, setahun setelah pertandingan antara Tengku Razaleigh dan Tun Musa pada tahun 1981. Penyokong-penyokong Tengku Razaleigh terus membuat persiapan untuk pertandingan kali kedua antara dua tokoh ini.

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO TAHUN 1984

64. Dalam Perhimpunan Agong UMNO ke 2 selepas Tun Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO beliau sekali lagi pada tahun 1984 menang untuk jawatan Presiden tanpa bertanding. Timbalannya Tun Musa telah ditentang sekali lagi oleh Tengku Razaleigh untuk jawatan Timbalan Presiden. Yang aneh ialah Dato' Seri Anwar Ibrahim yang dipermudahkan kemasukannya ke dalam UMNO oleh Tengku Razaleigh telah tidak menyokong Tengku Razaleigh, sebaliknya, Anwar sebagai Ketua Pemuda UMNO yang dimenanginya pada tahun itu, telah menyokong Tun Musa Hitam untuk jawatan Timbalan Presiden.

65. Setelah Tengku Razaleigh dikalahkan oleh Tun Musa buat kali kedua pada tahun 1984 maka Tun Dr. Mahathir telah mengurangkan kuasa dan pengaruh Tengku Razaleigh dengan menurunkan jawatannya dari Menteri Kewangan untuk menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa. Tun Dr. Mahathir telah melantik Tun Daim Zainuddin menjadi Menteri Kewangan.

PERISTIWA MEMALI

66. Setahun kemudian pada tahun 1985, dalam mesyuarat kabinet sebelum Tun Dr. Mahathir berangkat ke negeri China, saya telah diminta menghubungi kenalan saya Ibrahim Libya yang dikehendaki menyerah secara aman kepada pihak polis. Saya telah menyampaikan hasrat saya untuk berjumpa Ibrahim tetapi, sepeninggalan Tun Dr. Mahathir ke China, dan belum sempat saya berjumpa Ibrahim, beliau telah terbunuh dalam peristiwa Memali. Pada waktu itu Tun Musa menjadi Menteri Dalam Negeri dan memangku jawatan Perdana Menteri.

TUN MUSA KIRIM SURAT PERLETAKAN JAWATAN

67. Beberapa waktu selepas Tun Dr. Mahathir kembali dari China beliau telah menerima sepucuk surat dari Tun Musa yang memberi tempoh satu tahun untuk meletak jawatan. Surat ini telah disimpan sebagai rahsia oleh Tun Dr. Mahathir.

68. Pada mulanya Tun Dr. Mahathir ingin menunggu sehingga diadakan Perhimpunan Agung UMNO sekali lagi setelah Tun Musa meletak jawatan, tetapi, oleh kerana kawan-kawan Tun Musa sedang berusaha untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas, kerana hanya dengan keputusan Mesyuarat Agung Khas Tun Musa akan menarik balik keputusan letak jawatannya.

CADANGAN TUN DR. MAHATHIR UNTUK MELETAK JAWATAN

69. Sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan untuk menimbang cadangan untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas Tun Dr. Mahathir telah memanggil saya dan memberitahu bahawa beliau akan meletak jawatan jika usul untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas, yang akan dibentang dalam mesyuarat Majlis Tertinggi pada keesokan malamnya lulus maka beliau akan meletak jawatan kerana beliau yakin Mesyuarat Agung Khas tetap akan meluluskan usul mendesak Tun Musa untuk kembali memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

70. Apabila saya bertanya alasan atas keputusan demikian Tun Dr. Mahathir berkata 'Wakil UMNO hanya berfikir mengenai perpaduan sedangkan saya berfikir mengenai kerja. Jika Tun Musa yang mengetahui kemenangannya ialah dengan sokongan saya pun tidak dapat menyokong saya di dalam menjalankan tugas gambarlah apa akan jadi jika dia terpaksa saya lantik kembali sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana keputusan Mesyuarat Agung Khas. Lagi-lagilah susah dia hendak bantu saya.'

PANDANGAN DATO' SENU, TAN SRI KHIR JOHARI DAN TUN DATO' MUSTAFA

71. Saya pun merasa gelisah dan mencari jalan untuk mempertahankan kedudukan Tun Dr. Mahathir sebagai Presiden UMNO. Sebagaimana biasa saya telah cuba mendapat nasihat dan petunjuk dari tokoh-tokoh yang lebih dewasa dan lebih berpengalaman. Saya telah hubungi Dato' Senu Abdul Rahman yang saya kenal sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di waktu saya menjadi Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seremban Timur. Saya juga bertemu dengan Tan Sri Mohd Khir Johari yang pernah menjadi guru bahasa Inggeris kepada Tun Dr. Mahathir di Alor Setar dahulu. Kedua-dua tokoh dari Kedah ini enggan membantu kerana mereka adalah orang kuat Tengku Abdul Rahman.

72. Tokoh ketiga yang saya temui ialah Tun Dato' Hj. Mustafa. Beliau juga rakan karib Tengku Abdul Rahman. Bila dia melihat wajah sedih saya apabila dia kelihatan gembira mendengar Tun Dr. Mahathir akan berhenti jika usul untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas UMNO lulus, maka Tun Dato' Mustafa bertanya 'Apakah anak mahu usul itu kalah?' Bila saya mengesahkan kerana saya belum nampak seorang tokoh yang layak mengganti Tun Dr. Mahathir maka Tun Dato' Mustafa bertanya lagi ' Apakah fikiran orang UMNO, khasnya kebanyakan ahli-ahli Majlis Tertinggi mengenai usul itu, akan menang atau kalah?' Saya menjawab 'Hampir semuanya fikir usul itu akan diluluskan oleh Majlis Tertinggi dan apabila Mesyuarat Agung Khas UMNO diadakan usul itu akan lulus dengan sebulat suara kerana ahli-ahli UMNO berpendapat itulah caranya untuk menyatupadukan UMNO.' Tun Dato' Mustafa terus menyampuk 'Kalau ramai fikir usul itu akan menang maka menanglah; kalau ramai fikir usul itu akan kalah maka kalahlah .... yang penting ialah apa orang fikir.'

73. Mendengar pandangan Tun Dato' Mustafa saya pun berhenti makan malam dan meminta izin untuk balik ke pejabat UMNO walaupun sudah pukul 10 malam. Sebelum sampai di pejabat saya telah telefon Setiausaha Politik Tun Dr. Mahathir Tan Sri Megat Junid Megat Ayob dan Setiausaha Kerja UMNO Malaysia Kip Bahadon. Bertiga kami telah menghubungi hampir kesemua ahli-ahli Majlis Tertinggi yang rapat dengan kami untuk menyatakan pendirian masing-masing sekaligus memaklumkan secara tidak langsung bahawa usul yang akan dibentang dalam Majlis Tertinggi pada besok malam akan kalah.

74. Pada keesokan malamnya hanya 3 orang sahaja dari ahli Majlis Tertinggi yang menyokong usul untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas. Semua yang hadir merasa terkejut termasuk saya sendiri.

MAJLIS TERTINGGI MENOLAK USUL MENGADAKAN MESYUARAT AGUNG KHAS TETAPI MENERIMA USUL MENGHANTAR ROMBONGAN UMNO JOHOR KE LONDON

75. Walau pun Majlis Tertinggi telah menolak cadangan mengadakan Mesyuarat Agung Khas, tetapi Majlis Tertinggi bersetuju menghantar satu rombongan UMNO dari Johor, yang dipimpin oleh Dato' Syed Zain, untuk memujuk Tun Musa, yang berada di London, untuk menarik balik perletakan jawatan Timbalan Presiden UMNO. Perletakan jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak dapat ditarik balik kerana Tun Dr. Mahathir sahaja yang berkuasa membuat perlantikan semula dan beliau tidak bercadang membuat demikian.

76. Di waktu rombongan UMNO Johor berangkat ke London saya lihat di dalam surat khabar sepanduk yang mengutuk saya, Tan Sri Megat Junid dan Kip Bahadon. Sepanduk ini berbeza dengan sepanduk yang dibentang di bangunan UMNO sebelum mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan di mana tiga tokoh yang disalahkan atas perletakan jawatan Tun Musa Hitam ialah apa yang disingkatkan sebagai A. I. D. S untuk Dato' Seri Anwar Ibrahim, Tun Daim Zainuddin dan Sanusi Junid. Rupanya ahli-ahli rombongan sudah mengetahui mengenai kegiatan panggilan telefon kami bertiga Megat, Kip dan saya.

ROMBONGAN UMNO JOHOR BERJAYA MEMUJUK TUN MUSA MEMBATALKAN PERLETAKAN JAWATAN TIMBALAN PRESIDEN UMNO

77. Walau pun Majlis Tertinggi telah diberi jaminan oleh 3 orang ahlinya, yang menyokong usul yang kalah untuk diadakan Mesyuarat Agung Khas, bahawa Tun Musa tidak akan menarik balik surat perletakan jawatan sebagai Timbalan Presiden ternyata Tun Musa menarik balik perletakan jawatannya kerana beliau bimbang atas nasib penyokong-penyokongnya kerana pemegang jawatan Timbalan Presiden biasanya juga menjadi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin yang ditakuti akan bertindak ke atas penyokong-penyokongnya.

TUN ABD. GHAFAR BABA JADI TIMBALAN PERDANA MENTERI

78. Kerana usaha untuk mengadakan Mesyuarat Agung Khas berjalan terus dan desakan-desakan terus membara maka Tun Dr. Mahathir telah memutuskan untuk tidak menunggu Perhimpunan Agung UMNO untuk memilih Timbalan Presiden baru sebaliknya terus melantik, pada tahun 1986, Tun Ghafar Baba untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

PERISTIWA KEDUA - CABARAN DARI TENGKU RAZALEIGH HAMZAH

PERHIMPUNAN AGUNG UMNO TAHUN 1987

79. Oleh kerana Tun Ghafar Baba ialah sahabat karib Tengku Razaleigh dan tidak dianggap oleh Tengku Razaleigh sebagai saingan yang sepadan dengannya maka dalam Perhimpunan Agong UMNO ke 3 selepas Tun Dr. Mahathir menjadi Presiden UMNO, iaitu pada tahun 1987 Tengku Razaleigh tidak menentang Tun Ghafar yang mengganti Tun Musa, sebaliknya telah mencabar Tun Dr. Mahathir untuk jawatan Presiden UMNO. Tun Musa telah menyokong Tengku Razaleigh dan masuk ke dalam 'Team B' untuk menentang Tun Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden.

80. 'Team B' telah dikalahkan oleh 'Team A' dalam pertandingan ini.

81. Perlu diingat bahawa Tengku Razaleigh ialah seorang menteri kabinet di waktu beliau menentang Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir yang terus melantiknya sebagai menteri walau pun beliau telah dua kali dikalahkan oleh Tun Musa dalam pertandingan pada tahun 1981 dan tahun 1984.

82. Sikap toleran Tun Dr. Mahathir terhadap orang yang tidak mengenang jasanya jarang sekali terdapat dalam dunia 'realpolitik'.

TENGKU RAZALEIGH BERTAMBAH POPULAR

83. Waktu saya mendapat tahu populariti Tengku Razaleigh telah meningkat dan banyak mereka yang sering datang ke rumah Tun Dr. Mahathir juga tidak kelihatan lagi maka saya telah pergi ke rumah beliau untuk bertanya apa strategi beliau untuk mengekalkan kedudukannya. Beliau berkata 'saya serahkan kepada Allah dan kebijaksanaan ahli-ahli perwakilan UMNO'.

KEBIJAKSANAAN DALAM 'REALPOLITIK'

84. Oleh kerana saya tahu dalam 'realpolitik' kebijaksanaan orang-orang politik itu biasanya ialah hanya dalam menjaga kepentingan dan keuntungan peribadi di atas kepentingan agama, bangsa dan tanahair maka saya mencadangkan satu majlis penerangan diadakan sebagai usaha untuk mengasahkan kebijaksanaan ahli-ahli UMNO supaya memihak kepada Tun Dr. Mahathir. Oleh itu satu kempen telah diadakan di Hilton Hotel, Jalan Tun Ismail dua hari sebelum Perhimpunan Agung UMNO diadakan.

KESAN UCAPAN PERASMIAN

85. Biasanya apabila Tun Dr. Mahathir menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agong UMNO banyaklah masalah terkupas dan kemusykilan berjawab dan penyokong-penyokong Tun Dr. Mahathir mengharapkan ucapan beliau akan membantu untuk memenangkannya.

KECOH KUNCI PETI UNDI

86. Walau bagaimana pun satu kejadian telah berlaku pada malam 23 April, 1987 yang keesokan harinya ada pemilihan dalam Perhimpunan Agong UMNO. Saya telah menerima telefon dari seorang wartawan M. G. G. Pillai yang memberitahu saya kemungkinan ada masalah dalam pemilihan esok kerana katanya dia melihat beberapa orang pegawai di ibu pejabat UMNO, di dalam Dewan Merdeka telah bermain-main dengan kunci-kunci kotak mengundi yang dia lihat terlonggok dan mungkin tidak dapat dicari esoknya. Saya ucapkan terima kasih dan tidak berbuat apa-apa kerana saya percaya penuh kepada staf ibu pejabat yang telah mengurus semuanya dengan baik.

87. Pada 24 April, 1987 selepas ucapan perasmian Perhimpunan Agong UMNO dilakukan dan pegundian untuk jawatan Presiden hendak diadakan sementara para perwakilan masih terkesan dengan ucapan perasmian itu tiba-tiba didapati peti-peti undi tidak dapat dibuka kerana kekusutan kunci sebagaimana yang M. G. G. Pillai beritahu pada malam tadi.

KEBIJAKSANAAN TERCEMAR DENGAN POLITIK WANG

88. Pengundian terpaksa ditangguhkan sehingga selesai sembahyang Juma'at maka pada waktu Juma'at itulah berbagai cara kempen dilakukan oleh penyokong Tengku Razaleigh pasti tanpa diketahui olehnya) terhadap perwakilan yang tidak berjuma'at kerana musafir. Akibatnya Tun Dr. Mahathir menang dengan perbezaan undi yang tipis (761 - 718 undi). Jika pengundian telah diadakan sebelum sembahyang Jumaat, iaitu selepas ucapan perasmian oleh Presiden UMNO maka, oleh kerana 'kebijaksanaan para perwakilan' yang diasahkan oleh ucapan perasmian itu, belum dicemarkan oleh 'politik wang', mungkin majoriti kemenangan Tun Dr. Mahathir bertambah.

HARAPAN SEMUA PEMIMPIN NEGARA-NEGARA ISLAM

89. Jika ada yang masih mencurigai pandangan saya mengenai Tun Dr. Mahathir mungkin elok juga saya nyatakan apa yang disampaikan sendiri oleh Presiden Musharraf dari Pakistan kepada saya di waktu beliau menghadiri Persidangan OIC yang diadakan di Putrajaya dari 11 hingga 18 Oktober, 2003, iaitu 13 hari sebelum Tun Dr. Mahathir menyerahkan kuasa kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 31 Oktober, 2003. Kata Presiden Musharraf 'You have to tell Mahathir that the delegates to the last conference of OIC decided to bring this year's conferene to Kuala Lumpur because they would like to hand over the leadership of OIC to him, and not to Malaysia. We chose Malaysia because we want Mahathir to lead us, not just anybody from Malaysia.'

89 a - Saya tanya 'All leaders of OIC countries?'

89 b - 'Yes all, not one exception. Please tell him not to step down from being the Prime Minister. He should stay for more years to lead the OIC. Please do us a favour.' Saya tidak sampaikan rayuan Presiden Musyarraf kepada Tun Dr. Mahathir kerana saya mengetahui Tun Dr. Mahathir tidak akan berganjak dari keputusannya. Bermaknalah, bukan saya saja, tetapi semua pemimpin negara-negara Islam di dunia menyanjung kemampuan kepimpinan Tun Dr. Mahathir.

PENUTUP

90. Saya merasa bangga kerana pihak penganjur majlis hari ini menganggap saya sebagai sahabat Tun Dr. Mahathir. Bagi saya apa yang telah saya lakukan dalam perjuangan politik ini ialah ibadat belaka, termasuk usaha membantu Tun Dr. Mahathir dalam menjalankan tugasnya. Jika ada yang lebih layak darinya, di zamannya, sudah pasti saya tidak bersamanya.

91. Oleh kerana saya terlibat di dalam berbagai pergolakan sepanjang menjadi Wakil Rakyat, menjadi Timbalan Menteri, berada di dalam Kabinet dan menjadi Menteri Besar; menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Setiausaha Agung, Naib Presiden dan Ketua Perhubungan UMNO Kedah, maka bahang dari akibat terhunusnya keris dan pedang, di waktu dalam pergolakan itu, masih saya rasai sehingga masa kini. Pada kesempatan seperti inilah saya dapat meluahkan sebahagian dari pengalaman itu, dalam masa yang terbatas, dengan harapan generasi muda masa kini dan masa depan dapat mempelajari dan memahaminya semoga tidak terjebak dengan ranjau yang merugikan agama, bangsa dan tanah-air.

92. Sekian, selamat berjuang.